Pages

KemahKeming68
KemahKeming68

Friday, 10 August 2012

Rasa Megah Lakukan Perkara Dilarang

KEBERANIAN mencuba sesuatu yang berisiko mendatangkan bahaya dilakukan kerana seseorang itu mahu membuktikan bahawa dirinya hebat berbanding orang lain. - Gambar hiasan.

MUSIM perayaan menjelang lagi. Malangnya, musim perayaan ini biasanya akan disertai dengan berita duka mengenai remaja kita yang cedera atau ditimpa kemalangan akibat bermain mercun.
Walaupun kerajaan dan media telah memaparkan berita-berita kemalangan ngeri yang menimpa remaja akibat letupan mercun, bagaimanapun ia seolah-olah tidak membangkitkan kerisauan dalam kalangan remaja.
Biarpun risikonya diketahui, mereka terus bermain mercun seperti biasa, malah ada yang membuat sendiri mercun agar bunyi letupannya lebih kuat.
Semua ini hanya berlaku setiap kali tibanya musim perayaan dan tidak pada waktu yang lain. Ia memberi gambaran menyambut hari raya mestilah disertakan bersama dengan permainan mercun.
Adakah faktor-faktor psikologikal juga menyumbang kepada kejadian yang tidak diingini itu?
Kajian-kajian psikologi menunjukkan terdapat perbezaan persepsi mengenai risiko antara remaja lelaki dan perempuan.
Remaja lelaki didapati tidak begitu menghiraukan aspek risiko jika dibandingkan dengan remaja perempuan. Ini juga mungkin ada kaitannya mengapa dalam banyak kes melibatkan kemalangan jalan raya atau kecederaan fizikal disebabkan bermain mercun, ia lebih banyak melibatkan remaja lelaki.
Kajian-kajian yang dilakukan sebelum ini menunjukkan terdapat perbezaan persepsi mengenai keselamatan diri antara golongan remaja dan orang dewasa.
Tatkala orang dewasa secara umumnya lebih bersifat menghindar daripada risiko, golongan remaja pula melihat risiko sebagai satu 'cabaran'. Lebih-lebih lagi, cabaran ini biasanya diberikan 'penghargaan' atau penghormatan oleh rakan-rakan mereka yang lain.
Sebab itu, kita dapati pada peringkat usia remaja, mereka tidak lagi bermain bunga api kerana ia dianggap sebagai permainan yang tidak mencabar.
Mereka akan berasa lebih hebat kalau mampu bermain dengan mercun yang letupannya lebih kuat, sebagai bukti aktiviti itu boleh menunjukkan kelakian mereka.

Rasa hebat
Mereka yang berani menempuh risiko dianggap sebagai individu yang hebat dan unik. Pada usia remaja, tatkala mereka masih mencari identiti diri, penghargaan daripada rakan sebaya yang lain dianggap sebagai satu elemen penting.

Saban tahun, ada saja rampasan mercun oleh pihak berkuasa.

Pengaruh rakan sebaya inilah yang menjadikan persepsi mereka terhadap risiko berubah. Tanggapan bahawa 'risiko' sebagai sesuatu cabaran itu juga menyebabkan banyak remaja kita terjebak dengan kegiatan berbahaya yang lain, termasuk lumba haram atau penyalahgunaan dadah.
Walaupun ingatan dan amaran telah diberikan, namun mereka tetap meneruskan tabiat yang berisiko.
Boomerang effects
Keadaan itu menjadi bertambah teruk apabila remaja tersebut diperangkap oleh boomerang effects. Dalam bahasa yang mudah, 'semakin dilarang, semakin dilakukan'.
Mereka akan lebih terpesona dengan aktiviti yang dilarang atau dianggap sebagai sesuatu yang tidak disukai oleh ahli masyarakat yang lain. Semakin dilarang sesuatu perbuatan itu, maka dengan melakukannya ia akan menjadikan seseorang itu merasa gah.
Kajian-kajian terkini menunjukkan boomerang effects inilah yang menyebabkan banyak kempen yang melibatkan remaja mengalami kegagalan. Misalnya dalam kempen antirokok atau cegah jenayah yang lain. Mereka akan cuba melakukan sesuatu yang dianggap terlarang kerana ia dianggap sebagai norma yang diterima oleh ahli kumpulan lain.
Sudah sampai masanya, kita harus mengubah semua ini. Mercun tidak lagi harus dianggap sebagai permainan dalam tradisi perayaan kita, sebaliknya ia hanya membazirkan wang dan merosakkan diri sendiri.
Letupan mercun dianggap sebagai membangkitkan keseronokan hanyalah persepsi psikologikal semata-mata, sedangkan hakikat sebenar ia membuka ruang untuk ditimpa kecelakaan.
Ia juga tidak harus dianggap sebagai permainan yang membangkitkan cabaran. Cabaran sebenarnya ialah keberanian kita untuk tidak lagi bermain mercun.
Ketika ini, menyesal sudah tiada guna.. Tangsian mengiringi, doa diminta.. Beringatlah wahai insan, bahaya dimana-mana.




********************************************************************************

Artikel lain yang korang mesti baca :

---- Jom buat duit online
--- Gambar artis yang sudah berhijab



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...